Make your own free website on Tripod.com

Kesultanan Brunei

Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sri Vijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa.

Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo. Kecuali dari Eropah, pendatang asing yang berurusan dengan Sabah (Borneo Utara) tidak meninggalkan sebarang rekod bertulis tentang kegiatan mereka di kawasan ini. Penduduk tempatan juga tidak memiliki sebarang rekod bertulis kecuali sejarah dan tradisi lisan mereka.

Pada 600 tahun masihi, orang-orang Cina telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah Brunei ( Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.


Kedatangan Pendatang Eropah

1521: Pigafetta, seorang penulis sejarah Ferdinand Magellan tiba di Brunei dan telah disambut secara besar-besaran

1526: Orang Portugis yang diketuai oleh Menezes melawat Brunei

1577: Kuasa Sepanyol telah menakluk Filipina dan juga menyerang Brunei. Kesultanan Sulu juga ditakluk oleh Spanyol

1609: Belanda telah mendirikan pangkalan dagangan di Batavia (Jakarta), Jawa.

1658: Sultan Brunei telah menghadiahkan kawasan timur laut Borneo kepada Sultan Sulu sebagai penghargaan baginda terhadap Sultan Sulu dalam menyelsesaikan perang saudara di antara Sultan Abdul Mubin dengan Pengeran Mohidin. Persengketaan dalaman kerajaan Brunei merupakan satu faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar tersebut.

1665: Kapten Cowley telah melawat Borneo dan beliau merupakan orang Inggeris pertama yang melakukan lawatan ke Borneo.

Balembangan

Dalam tahun 1761, Alexander Dalrymple seorang pegawai dari Syarikat Hindia-Timur British di Madras, India telah membuat satu perjanjian dengan Sultan Sulu yang membenarkan beliau membuka satu pangkalan perdagangan di kawasan Borneo Utara. Beliau telah memilih Pulau Balembangan kira-kira 20 batu dari utara bandar Kudat. Pada tahun 1763, Dalrymple telah mengibarkan bendera British di Balembangan dan menamakan pulau itu ' Felecia'. Kemudian seorang pegawai iaitu John Herbert dihantar untuk mendirikan penempatan di Felecia (Balembangan).Namun begitu penempatan ini menghadapi masalah sejak ia dimulakan. Kepincangan urusan pentadbiran, rompakan di laut dan kemusnahan kebakaran telah membawa kehancuran kepada pangkalan dagangan ini pada akhir 1775. Satu usaha untuk menyusun semula pangkalan ini telah dilakukan pada 1803 oleh General Gabenor India, Lord Arthur Wellesley melalui pegawainya Robert J. Farquhar, Residen di Amboina. Dalam usaha ini Felicia telah dijadikan stesen ketenteraan tetapi usaha tersebut gagal dan stesen ini ditinggalkan pada November 1805. Perhatian British kemudian beralih kepada kawasan lain di gugusan pulau Melayu.

Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992.